Penyediaan & Pemakanan Thosai

Thosai pada asalnya disediakan dengan mengisar beras yang direndam semalaman atau nasi lama ( diamasak 2 atau 3 hari sebelumnya) serta kacang dal hitam sehingga menjadi adunan yang sederhana pekat. Setelah itu, adunan dileperkan di atas kuali leper yang panas sehingga menjadi kuning keemasan dan terus dihidangkan. Asal usul thosai sering dikaitkan sebagai sebuah resepi yang digubah untuk menggunakan nasi yang lama untuk menjadi sebuah hidangan baru supaya nasi tersebut tidak terbazir.

Variasi

Thosai juga boleh disediakan dengan ramuan yang berbeza seperti tepung suji dan tepung gandum dan dicampurkan dengan pelbagai jenis rempah-ratus yang berbeza mengikut citarasa masing-masing. Resepi hidangan ini boleh digubah mengikut kreativiti dan citarasa tersendiri. Pada masa kini terdapat pelbagai jenis thosai yang barangkalinya turut ditambah inti yang unik seperti thosai bawang, thosai minyak sapi , thosai masala, thosai telur, thosai marjerin, "thosai kertas" (paper thosai) dan sebagainya.

Hidangan thosai ini mempunyai keunikannya tersendiri dari segi penyediaannya serta rasa dan teksturnya sendiri. Penyediaan thosai hanya memerlukan adunan beras dan kacang dal hitam tersebut serta sedikit minyak. Ianya amat mudah untuk disediakan dan dapat dinikmati oleh seiisi keluarga sebagai makanan ruji ataupun sekadar makanan sampingan. Oleh kerana teksturnya yang agak ranggup dan ringan serta ianya senang dikunyah dan dihadam; maka hidangan tersebut menjadi kegemaran ramai tanpa mengira golongan umur.